Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI
Al-Maraghi berkata: “Pada ayat-ayat yang lalu, diterangkan hakikat agama yang diterima oleh Allah SWT dan agama itu ialah agama yang menyuruh menyerah kepada Allah SWT semata-mata.
“Disebut bahawa sikap Ahli
Kitab yang menentang agama ini timbul semata-mata kerana kebencian
setelah datang ilmu kepada mereka. Kemudian disebut pula bantahan Ahli
Kitab dan seluruh kaum musyrik Arab terhadap Nabi SAW..
“Kemudian
disusuli pula dengan keterangan bahawa mereka yang lari daripada
kebenaran, sedikitpun tidak membahayakan baginda dan kewajipan baginda
hanyalah menyampaikan ajaran Allah SWT”.
Perbincangan
selanjutnya menyentuh secara khusus tentang orang Yahudi dan mencela
sebahagian orang yang hidup pada masa itu kerana perbuatan yang
dilakukan oleh nenek moyang mereka dahulu.
Akibat perbuatan
umat terdahulu, generasi berikutnya terpaksa bertanggungjawab terhadap
perbuatan generasi sebelum mereka laksana seorang yang mempunyai
tanggungjawab di atas perbuatannya yang lalu. Hal yang seumpama ini
dibicarakan dalam surah al-Baqarah.
Sebab Nuzul
Abu
al-Abbas al-Mubarrad berkata: “Manusia di kalangan Bani Israel datang
kepada Nabi mereka yang menyeru kepada Allah SWT lantas mereka membunuh.
Kemudian bangkit sekumpulan selepas daripada mereka dan memerintahkan
supaya mengikut ajaran Islam kemudian mereka dibunuh lantas turunnya
ayat ini.
Mengikut riwayat Ma’qal bin Abi Miskin di kalangan
Nabi-Nabi yang datang kepada Bani Israel tanpa kitab lantas mereka
dibunuh. Kemudian bangkit satu kaum yang mengikut para Nabi dan menyeru
supaya melakukan keadilan dan saksama kemudian mereka juga dibunuh.
Iktibar dan fiqh ayat:
i.
Ibn Jarir meriwayatkan daripada Abu Ubaydah al-Jarah, katanya: Aku
bertanya, wahai Rasulullah SAW! Siapakah mereka yang dikenakan azab yang
paling pedih pada hari kiamat? Jawabnya: Orang yang membunuh Nabi atau
menyuruh melakukan kemungkaran dan melarang mengerjakan kebaikan.
Kemudian baginda membaca ayat ini seraya bersabda: “Wahai Ubaydah! Bani
Israel telah membunuh 43 orang Nabi pada pagi hari dalam satu masa”.
Lalu bangunlah hamba-hamba lelaki Bani Israel dalam lingkungan 170
orang. Mereka kemudiannya disuruh membunuh orang yang mengerjakan
kebaikan daripada mencegah kemungkaran. Mereka semua dibunuh pada waktu
petang pada hari yang sama.
ii. Al-Qurtubi berkata: “Ayat ini
menunjukkan bahawa pelaksanaan amar makruf dan nahi mungkar merupakan
kewajipan bagi umat yang terdahulu yang merupakan faedah kerasulan dan
pengganti kenabian.
Beliau menambah Allah SWT menjadikan amar makruf dan nahi mungkar sebagai membezakan golongan beriman dan munafik.
iii.
Al-Maraghi berkata: “Perhatikanlah perbezaan yang terdapat antara
dakwah Nabi kepada bangsa Arab yang menyembah berhala dan yang telah
sebati dalam diri mereka, yang berhasil mengubah mereka dalam masa yang
sangat singkat dengan dakwah ahli falsafah Yunani kepada bangsanya untuk
mengesakan Allah SWT.
“Mereka lemah untuk melakukan dakwah
seperti Nabi itu atau mendekati dakwahnya, sebab dalam masa yang begitu
panjang hanya sedikit sahaja yang mahu menerima, itupun daripada
murid-murid ahli falsafah itu sendiri.
“Rahsia perbezaan ini
ialah kerana dakwah Nabi Allah SWT dikuatkan dengan roh dari sisi-Nya,
serta disajikan dengan pelbagai cara, sesuai dengan orang yang menjadi
lawan bicara”.
iv. Ayat di atas menyebut tiga jenis dosa
besar, masing-masing secara berdiri sendiri diancam dengan seksa yang
pedih. Pertama, mengingkari ayat-ayat Allah SWT, baik dengan tidak
mengakui kitab suci yang diturunkan kepada para Nabi, mahupun ayat-ayat
yang berupa tanda dan bukti-bukti yang terbentang dengan sangat jelas di
alam raya.
Kedua, membunuh nabi-nabi. Kononnya orang-orang
Yahudi membunuh 43 orang Nabi, demikian disebutkan dalam tafsir
al-Jalalain. Namun yang jelas, yang telah mereka bunuh adalah Nabi
Zakaria dan Yahya a.s serta mereka usahakan untuk membunuhnya adalah
Nabi Isa a.s dan juga Nabi Muhammad SAW.
v. Hamka berkata:
“Membunuh orang-orang yang menyeru manusia supaya berlaku adil ialah
ahli-ahli fakir yang berani menyatakan kebenaran, menyebut yang terasa,
menunjukkan jalan yang adil dan membawa perubahan-perubahan berfikir
kepada masyarakat, meskipun mereka bukan Nabi, sebagai Socrates dalam
dunia falsafah yang juga mati dihukum bunuh oleh penguasa Yunani dengan
tuduhan merosak fikiran anak-anak muda dan meremehkan agama pusaka nenek
moyang mereka.
“Begitu juga yang mereka lakukan kepada
orang yang memperjuangkan keadilan dengan membunuh mereka kerana
menghalang usaha perubahan ke arah kemajuan dengan cara mereka”.
vi.
Muhammad Quraish Shihab berkata: “Kata basysyir diambil daripada kata
basyarah yang bererti kulit. Biasanya berita yang penting kesannya
nampak pada kulit (air) muka. Dari sini kata tersebut biasa digunakan
dalam erti “beritakan” dan kerana berita gembira seringkali lebih mudah
tampak pada air muka dan tidak segan untuk ditutupi.
“Dalam
ayat ini, kata tersebut dipilih sebagai ejekan kepada mereka. Nabi SAW
diperintahkan untuk menyampaikan berita yang nampaknya pada air muka
mereka yakni bahawa mereka dinanti oleh seksa yang pedih”.
Jelas terbukti bahawa golongan yang memusuhi Islam dan melakukan kerosakan di muka bumi sudah
pasti menerima azab yang pedih. Semoga kita menjadi orang yang beriman.. Amin.
No comments:
Post a Comment