ASSALAMUALAIKUM W.B.T
Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W.
Bersyukur kita ke hadrat Ilahi, dengan limpah dan kurniaanNya, kita masih dapat bernafas, dapat merasai nikmat Islam dan Iman.
Semoga kandungan yang disediakan dapat dijadikan renungan, pengajaran, panduan dan iktibar bersama.
Segala yang baik datangnya dari Allah, dan yang buruk itu datangnya dari hambaNya yang kerdil lagi hina.
wallahua'lam

AHLAN WASAH LAN WA MARHABAN BIKUM

Monday 10 September 2012

Minum Arak Antara 7 Dosa Besar


ADA bermacam-macam keburukan meminum arak, namun manusia terus meneguk ‘air kencing syaitan’ itu kerana kononnya ia memberi nikmat pada peminumnya.

Cakaplah apa saja seperti apabila diminum dengan banyak, arak boleh merosakkan selaput lendir perut dan menjadi racun yang meresap dengan cepat ke dalam bahagian tubuh manusia terutama jantung dan buah pinggang, boleh menjadikan sesak nafas atau mengakibatkan kematian mengejut akibat tekanan kuat kepada hati dan jantung, semua amaran itu tidak mampu menakutkan peminum arak.

Imam Muslim, Ahmad, Abu Daud dan Termizi meriwayatkan hadis baginda bermaksud: “Sesungguhnya khamar (arak) itu bukanlah ubat tetapi ia penyakit. Sesungguhnya Allah menurunkan penyakit dan ubat. Dan menjadikan buat kamu penyakit dan ubat, maka hendaklah kamu berubat tetapi jangan kamu berubat dengan yang haram.”

Walaupun peringatan demi peringatan diberikan, ramai umat Islam mengambil minuman itu di atas pelbagai alasan, kononnya untuk meraikan sesuatu peristiwa, bergembira di pusat hiburan, melupakan seketika masalah, berubat, gaya dan prestij, terikut-ikut dengan orang lain atau sekadar minum suka-suka.

Lebih malang lagi, budaya minum arak di kalangan umat Islam semakin berleluasa, bebas dan terbuka di negara ini yang menjunjung Islam sebagai agama rasmi.

Banyak juga umat Islam yang menjual atau bekerja di premis yang menjual arak sedangkan Rasulullah melaknati arak itu kepada sesiapa saja “Yang memerahnya, yang diperah untuknya, yang meminumnya, yang membawanya, yang dibawa kepadanya, yang menuangkannya, yang menjualnya, yang membelinya dan yang dibelikan untuknya.” (riwayat Termizi dan Ibnu Majah).

Hakikatnya, haramnya arak itu adalah satu larangan besar dalam Islam hingga arak itu dianggap satu daripada tujuh dosa besar. Malah, umat Islam juga dilarang sama sekali untuk duduk dalam satu majlis yang ada menghidangkan arak.

Imam Ahmad meriwayatkan sabda Nabi Muhammad yang bermaksud: “Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka janganlah dia duduk pada suatu hidangan yang ada di situ minuman khamar.”

Pada zaman yang serba maju ini, semakin ramai umat Islam yang melanggar batasan termasuk dalam soal makan minum masing-masing. Kita seolah-olah lupa bahawa manusia diberikan pelbagai pilihan minuman yang jauh lebih enak dan berkhasiat. Malangnya, masih ramai antara kita yang memilih untuk minum minuman keras yang jelas membinasakan peminumnya.

Mungkin sudah sampai masanya bagi mereka yang minum arak untuk berhenti dan mereka yang tidak minumnya mengingatkan diri sendiri, keluarga, saudara-mara dan rakan taulan bahawa arak itu mesti dibenci kerana sesungguhnya ia adalah haram dan membinasakan.

"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."
(Surah an-Nahl: ayat 125)

No comments:

Post a Comment