ASSALAMUALAIKUM W.B.T
Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W.
Bersyukur kita ke hadrat Ilahi, dengan limpah dan kurniaanNya, kita masih dapat bernafas, dapat merasai nikmat Islam dan Iman.
Semoga kandungan yang disediakan dapat dijadikan renungan, pengajaran, panduan dan iktibar bersama.
Segala yang baik datangnya dari Allah, dan yang buruk itu datangnya dari hambaNya yang kerdil lagi hina.
wallahua'lam

AHLAN WASAH LAN WA MARHABAN BIKUM

Monday 10 September 2012

Selamatkan anak-anak dari pornografi


REALITINYA hari ini di kalangan anak- anak muda atau remaja dengan mudah melihat dan mengumpul koleksi gambar atau majalah pornografi yang didapati dengan mudah di kedai-kedai atau dari Internet. Bayangkanlah jika hal ini terjadi kepada anak-anak kita. Kita boleh berbeza pendapat mengenai definisi pornografi dan perlu atau tidaknya hal seumpama ini diuruskan oleh undang-undang. Tetapi setidak-tidaknya kita sepakat untuk menyatakan bahawa pornografi itu adalah satu kesalahan dari peraturan Allah SWT.
Dilihat daripada perspektif Islam, jelas sekali pornografi merupakan perbuatan yang bersalahan dengan hukum syariat kerana ia mendorong seseorang lelaki atau perempuan kepada perbuatan yang tidak bermoral. Pengaruh pornorafi yang boleh mengakibatkan berlakunya perbuatan zina cukup besar implikasinya sehingga melahirkan penyakit yang tidak ditemui penyembuhannya iaitu AIDS. Di kalangan sesetengah anak-anak muda kita, kegilaan melihat gambar-gambar pornografi adalah merupakan tanda- tanda awal penyerapan kearah penzinaan. Titik tolak untuk memahami pornografi dalam Islam ialah melalui firman Allah SWT yang bermaksud:
Katakanlah kepada lelaki yang beriman, hendaklah mereka menahan pandangannya dan menjaga kemaluannya. Yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat. Katakanlah pula kepada perempuan yang beriman, hendaklah mereka menahan pandangannya dan menjaga kemaluannya. Dan janganlah mereka menampakan perhiasannya, kecuali yang biasa nampak padanya… (An-Nur: 30-31)
Ayat di atas berbicara dalam konteks pedoman pergaulan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram, iaitu mereka yang dibolehkan berkahwin. Menarik dikaji bahawa dalam pergaulan antara lelaki dengan perempuan, Tuhan menekankan kepada dua perkara pokok, iaitu menahan pandangan dan menjaga organ seksual. Dalam kaitan dengan pornografi, terlihat bahawa aktiviti pornografi ini sangat berkait erat dengan soal menjaga mata dan memelihara organ seksual.
Melalui firman Allah SWT di atas, jelas bahawa perintah untuk menjaga pandangan dan organ seksual hanya ditujukan kepada kelompok tertentu, iaitu orang-orang yang beriman, tanpa membezakan lelaki dan perempuan, bukan kepada semua manusia, bahkan juga bukan kepada semua yang mengaku Muslim. Mengapa perintah Tuhan itu hanya ditujukan pada orang beriman? Sebabnya, hanya orang beriman sahaja yang mematuhi dan melaksanakan perintah Tuhan.
Perintah itu tidak ditujukan kepada mereka yang tidak beriman kerana ia adalah sia-sia sahaja. Mereka pasti tidak akan mematuhinya. Kepatuhan seseorang kepada Tuhan adalah kerana dia beriman kepada-Nya, demikian sebaliknya, kerana itu perintah dan larangan Tuhan hanya ditujukan kepada hamba- Nya yang beriman, bukan kepada selainnya. Dalam konteks ini, kita perlu melakukan introspeksi (proses penilaian) diri apakah kita masih tergolong sebagai orang beriman atau bukan. Sebab yang tahu hanya diri kita sendiri dan Tuhan sahaja.
Apa yang lebih penting pada ketika ini kita harus bahu membahu untuk menyelamatkan anak-anak muda dari terus terjerumus dalam kancah kegilaan pornografi ini.Usaha untuk mencegah merebaknya pengaruh pornografi dari perspektif agama haruslah bermula daripada keluarga. Bukan hal yang kebetulan jika dalam al-Quran ditemukan sekitar 70 ayat yang berbicara mengenai pentingnya institusi keluarga. Keluarga harus menjadi tonggak awal dalam membangun masyarakat dan selanjutnya bangsa yang bermoral.
Nilai-nilai moral yang sangat ditekankan dalam setiap agama harus dimulai pelaksanaannya dalam kehidupan berkeluarga. Keluarga adalah unit terkecil dalam masyarakat yang memiliki banyak fungsi, dan di antara fungsinya yang sangat strategik adalah fungsi pendidikan dan agama. Pendidikan agama harus dimulai daripada keluarga. Pendidikan agama di luar keluarga hanya bersifat pelengkap kepada nilai-nilai yang sudah ditanamkan di dalam sesebuah keluarga.
Pendidikan agama
Perlu ditegaskan di sini bahawa pendidikan agama yang hendak ditanamkan kepada anak-anak sejak awal adalah pendidikan agama yang mengajarkan nilai-nilai kemanusiaan sehingga mereka terdorong menjadi manusia yang bertanggungjawab dan berguna. Bukankah ada hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Sebaik-baik manusia adalah yang paling berguna bagi sesamanya.”
Daripada hadis tersebut difahami bahawa sejahat-jahat manusia adalah yang mengeksploitasi sesamanya. Oleh yang demikian itu, apa yang dituntut bukanlah pendidikan agama yang hanya menekankan pada hal-hal yang bersifat peraturan formal semata-mata, sebaliknya pendidikan agama yang menekankan tiga aspek penting dalam diri manusia, iaitu aspek pemikiran, jiwa dan minda sehingga dapat membangun moral yang kukuh dalam diri seseorang.
Tujuan akhir daripada semua ajaran Islam sesungguhnya adalah menjadikan manusia itu berakhlak karimah atau berbudi luhur sebagaimana dalam hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Aku diutus semata-mata untuk menyempurnakan akhlak mulia.”
Impak kepada kehidupan beragama seseorang itu adalah menjadi manusia yang berakhlak mulia. Salah satu penunjuk utama daripada akhlak mulia adalah menjauhi perbuatan, perkataan dan perilaku yang keji serta kotor termasuklah bahan-bahan pornografi. Bahkan, salah satu ciri orang yang beriman adalah mampu mengawal syahwat seperti yang dinyatakan dalam surah Al-Mukmin ayat 5. Justeru, pengurusan syahwat atau nafsu itu penting bahkan mungkin juga lebih penting daripada pengurusan hati.
Dalam rangka melaksanakan tugas sebagai khalifah, manusia harus menjaga kesucian diri dan keturunan termasuk memelihara diri daripada mendekati bahaya zina seperti pornografi sendiri. Zina adalah perbuatan paling keji dan jalan yang sesat (Al-Isra’, ayat 32).
Zina memberikan kesan yang sangat buruk bukan hanya kepada si pelaku itu sendiri juga kepada anak-anak yang lahir akibat perbuatan zina itu. Dalam konteks zina, ajaran Islam menekankan unsur-unsur pencegahan. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang amat buruk.” (Al- Isra’: 32)
Sebahagian ulama menjelaskan bahawa yang dimaksudkan dengan mendekati zina salah satunya adalah dengan melihat bahan-bahan pornografi (mempertontonkan gambar-gambar bahagian tubuh yang membangkitkan nafsu berahi) baik secara langsung ataupun tidak. Ini bermakna, semua perbuatan keji yang boleh membawa kepada zina adalah haram sebagaimana haramnya zina itu sendiri. Sehubungan ini Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Umatku masih dalam keadaan baik selagi perbuatan zina tidak melanda mereka. Apabila perbuatan zina sudah merajalela di antara mereka, Allah akan menurunkan seksa-Nya kepada mereka semua (Hadis Riwayat Ahmad).

No comments:

Post a Comment