ASSALAMUALAIKUM W.B.T
Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W.
Bersyukur kita ke hadrat Ilahi, dengan limpah dan kurniaanNya, kita masih dapat bernafas, dapat merasai nikmat Islam dan Iman.
Semoga kandungan yang disediakan dapat dijadikan renungan, pengajaran, panduan dan iktibar bersama.
Segala yang baik datangnya dari Allah, dan yang buruk itu datangnya dari hambaNya yang kerdil lagi hina.
wallahua'lam

AHLAN WASAH LAN WA MARHABAN BIKUM

Sunday 9 September 2012

isu fahaman Wahabi, Islam liberal mahupun fahaman Syiah di Malaysia


 Sekarang ini timbulnya pelbagai persoalan mengenai isu fahaman Wahabi, Islam liberal mahupun fahaman Syiah di Malaysia. Tidak salah rasanya melontarkan pandangan, tetapi jangan secara melulu tanpa merujuk kepada yang lebih pakar. Yang mungkin menjadi isu pentingnya, ramai yang berlagak boleh tafsiral-Quran dan hadis sendiri padahal ilmu hadis dan Quran hanya cukup makan sahaja.
Tidak perlu rasanya ada perasaan takut, taksub ataupun melatah contohnya zakat ikut fahaman Wahabi la, pergi Mekah ikut Mazhab Maliki. Kita sudah ada ulama-ulama yang sedia memberikan penerangan dan memberikan panduan, boleh bertanya kepada mereka jika ada sebarang persoalan. Apa gunanya ulama yang ada pada hari ini yang dijadikan sebagai “pewaris nabi” kalau kita rasa kita lagi hebat dari mereka dengan membuat tafsiran baru.
Mungkin artikel ini boleh membantu :
FELO Kehormat Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa(Istac), Dr Muhammad Uthman El-Muhammady mendedahkan sejak kebelakangan ini aliran selain Ahli Sunnah Wal Jamaah seperti fahaman Syiah dan Islam liberal mula menyerang negara menyebabkan sebahagian masyarakat terpengaruh. Beliau yang menjadi ahli panel pada Wacana Ilmu bertajuk Ahli Sunnah Wal Jamaah anjuran akhbar Berita Harian dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), baru-baru ini melahirkan kebimbangan masyarakat dan negara akan berdepan pelbagai masalah jika perkara itu tidak didedahkan.
Beliau mengatakan ramai yang mempertikaikan kita menggunakan kitab lama, kononnya tidak moden yang lebih menggerakkan masyarakat kepada Fahaman Islam liberal. Masyarakat dibimbangi tidak didedahkan dengan fahaman betul mengenai Ahli Sunnah yang menjadi pegangan Majlis Agama Negeri dan Fatwa Kebangsaan dan boleh menimbulkan pelbagai masalah termasuk boleh mengancam keselamatan negara.
Sejauh mana fahaman Syiah, aliran Wahabi dan Islam Liberal mempengaruhi pemikiran umat Islam, Pengarah Penyelidikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Razali Shahabudin berkata, sukar menafikan wujud segelintir umat Islam negara ini dipengaruhi unsur bertentangan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan amalan mazhab Syafi’ie. Beliau berkata, setakat ini Jakim dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri (Jain) serta pihak keselamatan melalui peruntukan undang-undang dan dasar kerajaan berjaya membendung penularan fahaman berkenaan.
Beliau berkata, fahaman Syiah dan Islam liberal bahaya terhadap umat Islam kerana alasan yang berbeza. Fahaman Syiah diharamkan di negara ini melalui keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada 1996 berdasarkan percanggahan dengan akidah, syariah dan akhlak Ahli Sunnah Wal-Jamaah. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan yang bersidang pada 3 Mei 1996 membuat keputusan menetapkan umat Islam di Malaysia hendaklah hanya mengikut ajaran Islam berasaskan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dari pada segi akidah, syariah dan akhlak.
Memperakukan ajaran Islam yang lain daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah bercanggah dengan hukum syarak dan undang-undang Islam dan dengan demikian penyebaran apa-apa ajaran yang lain daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah dilarang. Antara penyelewengan yang dikenal pasti dalam fahaman Syiah ialah imam adalah maksum, khalifah diwasiatkan secara nas, menolak ijmak ulama, menolak qiyas dan mengamalkan nikah mutaah.
Sementara fahaman Wahhabiyah pula tidak sesuai diamalkan di negara ini kerana dikhuatiri boleh membawa kepada perpecahan umat Islam. Itu adalah hasil daripada perbincangan beberapa kali pada Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan. Semua keputusan adalah menyekat penularan fahaman Wahhabiyyah atas alasan isu khilafiyyah fiqhiyyah yang dibangkitkan boleh menggugat perpaduan umat Islam di Malaysia. Bagaimanapun keputusan itu tidak memutuskan Wahhabiyyah sebagai ajaran sesat. Razali berkata, mengenaifahaman Islam liberal pula setakat ini tidak wujud mana-mana individu atau organisasi di Malaysia yang menubuhkan apa-apa kumpulan atas nama Islam liberal seperti berlaku di Indonesia.
Beliau berkata, ajaran sesat dan sebarang ajaran baru menyalahi tradisi Ahli Sunnah Wal Jamaah di negara ini yang berpegang kepada akidah Asya’irah-Maturidiyyah dan fiqh Syafi’ie, sudah tentu akan menimbulkan rasa kurang senang umat Islam. Katanya, penyebaran ajaran sesat akan menggugat akidah serta syariah Islam sementara aliran seperti Wahhabiyyah boleh menimbulkan kekeliruan dan berakhir dengan krisis perpaduan jika tidak dibendung dan ditangani.
Berdasarkan rencana Fahaman Wahabi Berasaskan Pemikiran Ibnu Taimiyyah di laman web Jakim bertarikh 19 Disember 2006, pada prinsipnya fahaman Wahabi membuat terjemahan serta tafsiran al-Quran dan hadis sebulat-bulatnya mengikut fahaman pemimpin mereka. Penerapan fahaman Wahabi di kalangan umat Islam di negara ini sejak berkurun lama berakar umbi dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah menimbulkan salah faham di kalangan umat Islam. Orang awam yang kurang mahir selok belok mazhab lebih baik bertaklid dengan pegangan mazhab sedia ada.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Dr Mashitah Ibrahim mengatakan Majlis Fatwa Kebangsaan tidak pernah mengkategorikan fahaman Wahabi sebagai salah dan sesat di negara ini
“Kalau kita kata sesat, maknanya kalau kita pergi Mekah, kita tak bolehlah sembahyang dengan tok imam di Mekah. Tidak sah. Habislah jemaah haji kita. Dia (Wahabi) tak sesat, cumanya ia bergantung kepada kesesuaian di negara kita,”
Antara ajaran fahaman Wahabi ialah tidak mengamalkan bacaan doa qunut dan Yasiin selain tidak mengadakan tahlil dan tidak berzikir selepas solat seperti amalan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Hakikatnya fahaman Wahabi tidak membawa pemikiran baru mengenai akidah. Mereka hanya mengamalkan apa yang dikemukakan Ibnu Taimiyyahdalam bentuk yang lebih keras berbanding apa yang diamalkan Ibnu Taimiyyah sendiri.
Perkembangan fahaman Wahabi dan penerapan mazhab lain dalam masyarakat Islam di negara ini tidak dapat dielakkan kerana kesan globalisasi ilmu di dunia hari ini.

No comments:

Post a Comment