Persoalan Solat Jama' dan Qasar
Soalan
Assalamualaikum ustaz, saya sering balik kampung dan
berjalan jauh. Saya mengetahui ketika musafir kita boleh menjamakkan solat,
tetapi lantaran kurangnya ilmu tentang hal itu membuatkan saya tidak yakin
untuk melaksanakan solat tersebut. Saya hanya mengqada solat setelah sampai ke
destinasi. Banyak perkara yang mengelirukan saya. Misalnya kita tidak boleh
menjamakkan solat sekiranya akan mendiami destinasi tersebut lebih dari tiga
hari. Kita juga tidak boleh menjamakkan solat sekiranya destinasi tersebut
adalah kampung halaman kita.
Namun ada yang mengatakan kita boleh menjamakkan solat
kerana ia bukan bergantung pada destinasi yang akan kita pergi, tetapi ia
bergantung pada tempat di mana kita menjamakkan solat. Contohnya, di
pertengahan jalan, kita terhenti, kita tidak berada di situ lebih dari tiga
hari dan tempat itu bukan kampung halaman kita.
Oleh itu saya amat berharap ustaz dapat menerangkan
tentang solat jamak dan qasar, syarat-syaratnya dan cara mendirikannya, agar
saya dapat mempraktikkannya kelak.
Jawapan
Saudari sepatutnya menjama'kan sahaja solat, qadha solat
adalah sesuatu yang amat kurang baik untuk diamalkan. Qadha solat juga hanya
wujud apabila seseorang tertinggal kerana uzur seperti tertidur dan yang
seumpamanya. Sebarang tindakan meninggalkan solat secara sengaja adalah
mengundang dosa walaupun qadha dilakukan.
Berikut pula syarat untuk men"qasar"kan solat
menurut mazhab Syafie (Rujuk Mughni al-Muhtaj, 1/359-365) :-
i. Hanya tertakluk kepada keadaan bermusafir dengan jarak
melebihi 85 KM.
ii. Hanya boleh di qasar apabila telah melepasi sempadan
kampung atau taman perumahannya.
iii. Mengetahui destinasinya dan ia tidak bertujuan
maksiat.
iv. Tidak berimamkan orang yang menunaikan solat penuh (4
rakaat).
v. Berniat qasar semasa takbiratul ihram solatnya.
vi. Mestilah solat qasar itu dilakukan dalam keadaan
bersmusafir dari awal hingga akhirnya.
vii. Jika ia berniat (semasa bertolak) untuk duduk di
sesuatu destinasi lebih dari tiga hari (tidak termasuk hari sampai dan pulang),
maka ia tidak berhak untuk melakukan qasar solat, sejurus sampainya ia ke
destinasi itu. Jika ia tidak berniat lebih dari tiga hari atau langsung tidak
punyai niat berapa hari, kiraan 3 hari adalah tidak termasuk hari sampai dan
hari pulang. Dalamtempoh itu, ia boleh menqasarkannya jika tiada niat 3 hari.
Solat jama' pula semua syaratnya sama dengan solat qasar.
Berikut maklumat beberapa maklumat tentang jama' solat :-
i. Jama' tidak hanya
tertakluk kepada keadaan musafir, terdapat keadaan sukar yang lain
seperti hujan terlampau lebat, salji, keadaan merbahaya di luar, sakit (mazhab
Syafie tidak membenarkan jamak kerana sakit tetapi harus menurut mazhab Maliki
dan Hanbali, Rujuk Ikhtilaf Aimmah al-Ulama, Ibn Hubayrah, 1/150), semasa
Haji, itulah beberapa contoh keadaan yang di benarkan untuk di jama' kan
solat. (Rujuk Al-Fiqh Al-Islami Wa Adillatuhu, 2/1375)
ii. Solat jama' boleh dilakukan dalam dua bentuk :-
Pertama : Jamak Taqdim
Ertinya : Di gabungkan dua solat dalam waktu solat yang
pertama seperti zohor dan asar di dalam waktu zohor, atau maghrib dan isyak di
dalam waktu maghrib.
Ia berdasarkan hadith shohih dari Muadz Bin Jabal
riwayat Ahmad, Tirmidzi Ibn Hibban dan lain-lain.
Syaratnya :
1) Solat dilakukan
menurut tertibnya atau yang awal terlebih dahulu (zohor dahulu dan
asar di kemudiannya, maghrib dahulu dan isyak di kemudiankan), jika tidak maka
batal solatnya menurut mazhab Syafie. (Rujuk Mughni al-Muhtaj, 1/371 )
2) Berniat jamak ketika solat pertama dilakukan,
dan harus juga berniat jamak walaupun solat telah bermula. Lafaz niatnya
tidaklah perlu di baca dalam bahasa arab, dalam bahasa melayu juga di benarkan.
Tatpi perlu ingat lafaz niat bukannya niat tetapi hanya sebagai pembantu agar
niat boleh hadir dengan lebih mudah. Lazfa niat ini adalah saranan mazhab
Syafie sahaja, manakala Rasulullah SAW sendiri tidak pernah melakukannya,
justeru jika mampu menghadirkan niat di dalam hati tanpa berlafaz, itu yang
terbaik.
3) Mestilah berturut-turut (Muwalat); Pastikan
jangan terdapat pemisahan yang agak panjang atau urusan lain di tengah-tengah
kedua-dua solat.
Kedua : Jamak Takhir
Ertinya : Menggabungkan dua solat dalam satu waktu, iaitu
waktu solat yang terkemudian. (seperti zohor dan asar di tunaikan dalam waktu
asar).
Ia dibenarkan syarak berdasarkan hadith yang shohih dari
Anas dan Ibn Umar yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim. (Rujuk Naylul
Awtar, 3/212)
Syarat-syaratnya :
1) Niat Takhir sebelum habisnya waktu solat
pertama (iaitu niat dilewatkan solat pertama untuk digabungkan dalam
waktu asar atau isyak)
2) Berterusan dalam keadaan musafir sehingga
tamat solat yang kedua.
Soalan saudari tentang tidak boleh jamak sekiranya
destinasi perjalanan itu adalah kampung halaman sendiri adalah seperti
berikut (Rujuk Al-Fiqh Al-Islami Wa Adillatuhu, 2/1362 cet 4, dar
Al-Fikr):-
a- Seseorang yang kerja di KL, manakala kampung
kelahirannya di Batu Pahat, Johor atau mana-mana jarak yang melebihi 85 KM.
Apabila ia sampai ke kampong asalnya ( ibu bapanya juga di sana) ia tidak boleh
lagi menqasarkan solat kerana ia tidak dikira bermusafir lagi apabila telah
sampai ke kampung walaupun berniat duduk kurang dari 3 hari.
b- Seseorang yang kampung kelahirannya di Perak, dan ia
kerja di KL dan kampung isterinya di Johor. Apabila ia balik ke kampung
isterinya, juga tidak boleh qasar apabila telah sampai. Bagaimanapun terdapat
pandangan menegatakan si suami berhak menjamak dan qasar kerana ia bukan tempat
tinggalnya. Bagi saya, kelaur dari yang khilaf adalah lebih baik dalam hal ini.
c- Sekiranya ia dalam perjalanan balik dari kampung Johor
atau Peraknya ke KL, ia juga tidak boleh meng"qasar"kan solat apabila
telah sampai ke rumahnya di KL
Adapun kenyataan saudari "tidak berada lebih tiga
hari di sesuatu tempat perhentian" adalah syarat untuk qasar sahaja.
Adapun solat jamak, maka ia masih di bolehkan jika terdapat sebab-sebab yang di
sebutkan di atas.
No comments:
Post a Comment